Friday, February 24, 2012

Teks Pengacara Majlis : Perhimpunan Bulanan

saya ditugaskan menjadi master of ceremony untuk perhimpunan bulanan kali ini. Malangnya saya cuma sempat siapkan teks tanpa mengendalikan majlis pada hari yang dijadualkan. Tapi tak pe la, ada penggnati yang tak kurang hebat. Sekadar panduan dan contoh. Namun bukan yang terbaik. Boleh la setakat dijadikan rujukan, terutamanya untuk saya sendiri pada masa akan datang. Salah silap mohon teguran.

----------------------//----------------------

Mengumumkan ketibaan SUB BPM, Tuan Haji Wan Yusoff bin Wan Yaacob diiringi oleh En Amarruddin bin Isa, selaku KPSU pengelola perhimpunan dwi bulanan BPM bilangan 1/2012.

Assalamu’alaikum w.b.t & salam sejahtera,
Rabbisyrohli Sodri Wayassirli Amri, Wahlul ‘ukdatam millithani yafqohu qauli. Amma ba’d.

Yang Dihormati
Tuan Haji Wan Yusoff bin Wan Yaacob;
Tuan Mohd Syed Gawi bin Syed Agil;
Puan Hajah Zabidah binti Ibrahim;
En Amarudin bin Isa,
Ketua-ketua penolong setiausaha

Dan  seterusnya,
Tuan-tuan, puan-puan warga BPM yang dikasihi sekalian.

Terang malam disinari bintang
Indah berkelip memagar bulan
Diucapkan selamat datang
Silaturrahim kita jalinkan

Maulidurrasul baru berlalu
Sirah junjungan jadi teladan
Majlis menghimpun orang berilmu
Sebarang khilaf dikeji jangan

Bagi memberkati majlis pada pagi ini, majlis dimulakan dengan bacaan do’a yang akan disampaikan oleh Saudara Khairul Azmin bin Othman. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

---------Q1---------

Terima  kasih diucapkan kepada Saudara Khairul Azmin bin Othman di atas bacaan do’a itu tadi.

Tuan-tuan dan puan-puan,  bagi meneruskan majlis, mohon kerjasama sekalian hadirin untuk bangun bagi menyanyikan lagu Negaraku, Perkhidmatan Awam dan lagu Warisan diikuti dengan bacaan ikrar.

---------Q2---------

Seterusnya majlis  diteruskan lagi dengan Bacaan Ikrar dan Rukunegara yang akan diketuai oleh Saudara Mazli Saffawi bin Hussin.

---------Q3---------

Terima  kasih diucapkan kepada Saudara Mazli Saffawi bin Hussin di atas bacaan ikrar itu tadi.

Hadirin sekalian,  sebagai memulakan tirai perhimpunan dwi bulanan BPM bagi tahun 2012, majlis dengan hormatnya menjemput En Amarudin bin Isa, selaku KPSU Pengelola untuk menyampaikan ucapan alu-aluannya. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.

---------Q4---------

Terima kasih diucapkan kepada  En Amarudin bin Isa di atas ucapan itu tadi.

Hadirin sekalian, tanpa melengahkan masa, majlis diteruskan lagi dengan Perutusan dan Amanat yang akan disampaikan oleh Tuan Haji Wan Yusoff bin Wan Yaacob selaku SUB BPM. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan

---------Q5---------

Demikianlah tadi perutusan dan amanat oleh Tuan Haji SUB kita. Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas ucapan beliau itu tadi.

Taat dan taqwa kepada Allah
Taat kepada Janji dan sumpah
Taat memegang petua amanah
Taat memegang suruh dan tegah

Hadirin dan hadirat sekalian, seterusnya marilah kita kongsikan bersama pengumuman berkenaan perkembangan terkini yang berlaku dalam organisasi yang kita kasihi ini.

Duri semalu jadi sembilu
Mengalu-alukan orang baru

Selamat datang dan selamat bertugas kepada:

Puan Anitha binti Mohd Salleh yang  ditempatkan di UAP mulai 9 Februari 2012.
Puan Nornaimah binti Wahab @ Abdul Wahab yang ditempatkan UAPT mulai 3 Januari 2012.

Air perigi turunan lembah
Datang dan pergi sememangnya lumrah

Sekalung tahniah kepada:

Puan Jamilah binti Adam yang telah dinaikkan pangkat kepada F38 di JPN Sarawak mulai 28 Disember 2011.

Selamat Maju Jaya kepada;

Mohd Hizan bin Laliman yang telah bertukar ke INTAN Sabah mulai 9 Januari 2012.

Pohon nipah serak bertumbuh
Usia bertambah amal dikukuh

Selamat Hari Lahir kepada yang lahir pada bulan Januari dan Februari.
(Nama seperti tertera di skrin)

Yang bermusibah dido’a kembali fitrah
Yang pergi disedekahkan al-Fatihah

Takziah diucapkan kepada:
Puan Noorul Huda Uda Kasim kerana suaminya telah dimasukkan ke hospital disebabkan strok,
Manakala Puan Hawariah Ahmad dan En Bakordin bin Mohamed masing-masing telah kehilangan ibu tercinta pada 5 dan 12 Februari yang lalu.
Untuk itu, marilah bersama-sama kita sedekahkan al-Fatihah.

Sebelum mengakhiri majlis, berikut diumumkan berita BAKSUS.

Segmen Satu: Berita Sukan
Badan Kebajikan, Sukan & Sosial (BAKSUS) akan menganjurkan Pertandingan Sukan Dalaman dan juga Kejohanan Bowling. Oleh yang demikian, diseru kepada warga BAKSUS yang berminat mendaftarkan nama kepada penyelia-penyelia bagi setiap acara seperti yang tertera.

Segmen Dua: Berita Ekonomi
Bagi menjayakan beberapa acara-acara kebajikan, sukan & sosial yang telah dijadualkan oleh BAKSUS, diseru kepada semua ahli BAKSUS dapat menjelaskan Yuran Bulanan termasuk Yuran yang tertunggak seperti yang telah dijadualkan. Kerjasama semua amatlah diharapkan dan diucapkan terima kasih.

Dengar bergema asalnya genta
Gema berbunyi ke hujung jajahan
Terkasar bahasa tersasar kata
Maafkan kami AJK sekalian

Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Bulan mana perhimpunan mana
Kelak kita berjumpa lagi

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah.
Wassalamu’alaikum w.b.t

Dimohon kepada semua hadirin kekal berada di ruang legar ini bagi memberi laluan kepada sesi Program Kesedaran Pelaksanaan MS ISO/IEC 27001:2007 ISMS yang akan disampaikan oleh En. Mohd Salleh bin Supian. Saya dengan ini menyerahkan majlis kepada beliau. Dipersilakan.

4 comments:

Anonymous said...

Thanks panduan yg berguna

Siti Lyana said...

Semoga mendapat manfaat :)

Siti Lyana said...

Semoga mendapat manfaat daripadanya

Aza said...

Terima kasih banyak-banyak..
Saya kena jadi MC perhimpunan, dan teks ini banyak membantu..

Harapnya jika ada lagi teks MC lagi, post lah yer..