Monday, November 21, 2011

Teks Ucapan Pengacara Majlis Persaraan

Hari yang indah penuh ceria
Hari yang berbahagia penuh bermakna

BismilLahirrahmanirrahim
Assalamu `Alaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Yang Berusaha
Tn. Hj. Wan Yusoff bin Wan Ya’acob
Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat

Yang Dihormati
Tn. Syed Mohd Gawi bin Syed Agil
Pn. Hjh. Zabidah binti Ibrahim
Ketua-ketua Penolong Setiausaha

Yang Diraikan
Puan Ku Pisah Ku Ahmad

Seterusnya
Tuan-tuan, puan-puan, hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian.

Selamat datang ke Majlis Persaraan Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati

Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Saudara Mas Al Hafiz bin Samsir, Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan. ---Q---

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Saudara Mas AlHafiz bin Samsir atas bacaan doa itu tadi.

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian 

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berusaha Tn. Hj. Wan Yusoff bin Wan Ya’acob, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat. Dipersilakan. ---Q---

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha Tn. Hj. Wan Yusoff bin Wan Ya’acob, atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Jasamu dikenang
Budimu tak terbilang
Semangatmu dijulang
Khidmatmu gemilang

Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti yang dicurahkan oleh Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ku sepanjang perkhidmatan beliau di Bahagian Pengurusan Maklumat

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis jika yang diraikan tidak berbicara

Seterusnya, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad. Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan. ---Q---

Majlis merakamkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad atas ucapan itu tadi.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian
Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan

Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak jalan
Selagi hayat dikandung badan

Untuk itu, marilah sama-sama kita saksikan persembahan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad ---Q--- 

Itulah sebentar tadi dapat kita saksikan persembahan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad. Mudah-mudahan ianya dapat menggamit kenangan-kenangan manis kita selama berkhidmat bersama-sama dengan Kak Ku. ---Q---

Sudah teradat si anak lelaki
Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini iaitu Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad

Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada Tn. Syed Mohd Gawi bin Syed Agil, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat, untuk mengiringi Tn. Hj. Wan Yusoff bin Wan Ya’acob, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat untuk menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad. Dengan segala hormatnya dipersilakan. ---Q---

Seterusnya, Majlis dengan rendah hati menjemput Puan Ku Pisah Ku Ahmad untuk menerima cenderamata yang tidak seberapa tanda penghargaan daripada seluruh warga BPM. Dipersilakan. ---Q---

Itulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad.

Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad atas kesudian menerima cenderamata itu tadi.

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berusaha Tn. Hj. Wan Yusoff bin Wan Ya’acob menyampaikan cenderamata sebentar tadi.

Umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara.

Kuning emas masaknya padi
Penuh kepuk hasil tampian
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Dengan itu, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini. Sebelum bersurai, para hadirin diminta berbaris untuk acara bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, seterusnya menyaksikan buat kali terakhirnya Yang Diraikan Puan Ku Pisah Ku Ahmad mengimbas ibu jarinya di mesin perakam waktu sebagai tanda berakhirnya tugas rasmi beliau di dalam perkhidmatan ini.

Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kak Ku kerana sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Kak Ku bertambah ceria dan bahagia di dalam kehidupan selepas persaraan.

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama memeriahkan Majlis Persaraan ini.

Dikesempatan ini juga, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda kelapa bali
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.

Ditulis semula dan diolah oleh:
Siti Norliayana Markuni
kredit to : Ibnu Naeem

12 comments:

Anonymous said...

ASSALAMUALAIKUM .. MOHON DIIZINKAN UNTUK DIJADIKAN PANDUAN .. TERIMA KASIH :D

Suhaily Che Mohamad Shukri said...

terima kasih atas perkongsian yang berguna ini.

cutecreature said...

Teks yang sangat bagus bahasanya. Thanx for sharing.

cutecreature said...
This comment has been removed by the author.
Mohd Soffiyuddin said...

tq atas perkongsian..

Anonymous said...

Alhamdulilah...
Terima kasih byk2 teks ni byk membantu saya...

Khursiah Long said...

Terima kasih atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini.

fISZ said...

terima kasih. sy mohon guna ye.

MOHD.TAZLI ABD.HAMID said...

Puan Mohon buat panduan kepada saya

Sekian terima kasih

MOHD.TAZLI ABD.HAMID said...

Puan mohon diizinkan untuk panduan sekian terima kasih.

hasmidar hamid said...

Minta izin untuk panduan,tk

Anonymous said...

Mohon diizinkan sebagai panduan. Terima kasih..